Memaparkan catatan dengan label angling. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label angling. Papar semua catatan

Rabu, 4 November 2015

Redtail Gagah Di Jurassic Game Fishing Pond, Rawang, Selangor

Jurassic Game Fishing Pond sememangnya telah popular di kalangan pengemar sukan memancing air tawar yang mengidamkan pertarungan dengan spesis-spesis ikan bersaiz mega seperti Toman Harimau (Giant Snakehead), Haruan (Striped Snakehead), Alligator Gar, Arapaima Gigas serta dua spesis keli  yang menjadi subjek buruan utama buat kami. Spesis yang menjadi subjek buruan pada kali ini ialah Amazon Redtail Catfish yang berasal dari Lembangan Amazon, Amerika Selatan dan Thai Redtail Catfish berasal dari negara Thailand. Lokasi kolam yang terletak di Jalan Batu Arang/Bestari Jaya, Rawang, Selangor mudah untuk dikunjungi serta terletak di tepi jalan besar sebelum Bandar Tasik Puteri

Amazon Red Tail Catfish atau nama asalnya Pirara mempunyai bentuk badan yang pendek serta montel dan mempunyai bentuk kepala yang agak besar serta keras. Pada bahagian atas badan spesis ini berwarna kelabu kehitaman dengan kombinasi warna putih pada bahagian bawah badan manakala pada bahagian ekornya berwarna oren kemerahan dengan permukaan kulitnya yang agak kasar dan tidak licin seperti spesis keli yang biasa terdapat di sekitar negara-negara Asia Tenggara. Apa yang diketahui mengenai spesis ini ialah ianya boleh membesar dan mencapai berat sehingga 150lb serta merupakan spesis mega yang biasa dan banyak terdapat di sekitar Lembangan Amazon.

Amazon Redtail Catfish yang berjaya
didaratkan  
Kemasukan spesis RedTail Catfish di Malaysia pada peringkat awal adalah atas sebab digemari oleh pengemar ikan hiasan disini kerana keunikan dan kecantikan yang terdapat padanya. Walaubagaimanapun apabila evolusi dan populariti sukan memancing semakin mendapat tempat dikalangan pengemar sukan memancing di Malaysia maka ini telah membuatkan ada pengusaha kolam memancing berbayar seperti Jurassic Fishing Pond Rawang mengambil langkah inisiatif dengan memasukkan spesis-spesis pemangsa dari luar Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai "gamefish" ke dalam kolam-kolam memancing mereka supaya dapat memberi kepuasan dan kelainan serta pemancing boleh merasai sendiri pertarungan hebat dengan spesis Red Tail Catfish yang sememangnya telah popular dikalangan penggemar sukan memancing air tawar di seluruh dunia.

Thai Redtail Catfish atau Asian Redtail Catfish
yang berjaya didaratkan
Spesis kedua yang menjadi buruan ialah spesis Keli yang diberi nama Thai Redtail Catfish atau Asian Redtail Catfish.  Ianya berasal dari Thailand dan boleh membesar sehingga mencapai berat 88.2lb. Bentuk badan spesis ini agak berbeza dengan Amazon Redtail Catfish kerana mempunyai bentuk badan yang memanjang dan mempunyai kulit yang licin serta ekor berwarna merah bercampur oren. Boleh di katakan bahawa rupa bentuk spesis ini lebih menyerupai spesis Baung Akar yang terdapat di Malaysia.




Rakan MTS iaitu Saudara Ijam
bersama dengan Red Tail seberat 27kg
Bertarung dengan spesis Redtail memerlukan peralatan yang kuat serta tahan lasak kerana telah diperakui mengenai kekuatan dan kelasakannya apabila bertarung dengan pemancing. Kami menggunakan umpan anak lampam hidup digabungkan dengan set rod sederhana berat aksi cepat berserta dengan kekili mendatar Shimano Scorpion II DC7 yang diperakui mempunyai kekuatan drag sehingga 9lb. Umpan Lampam hidup terus di lontar ke bahagian tengah kolam dan kekuatan drag diselaraskan kepada mod sederhana. Kebanyakan Redtail yang bersaiz besar banyak mendiami di kawasan sebelah bawah restoran kerana memang sudah menjadi sifat semulajadi spesis ini gemar menjadikan tempat berlubang yang agak gelap sebagai tempat perlindungan atau lubuk persembunyian untuk menyelamatkan diri apabila merasa terancam . Secara tiba-tiba umpan diragut dengan agak ganas manakala tali utama terus keluar dari kekili di bawa menuju ke arah bawah restoran terapung. Kami tidak menyangka umpan yang baru dilabuhkan terus diragut dengan begitu cepat sekali. Saya membiarkan seketika tali keluar dari kekili  sehingga merasa yakin bahawa umpan dan mata kail telah betul-betul  berada di dalam mulut ikan sebelum melakukan henjutan "strike". Ini kerana spesis Redtail yang mendiami kolam ini agak bijak dan akan melepaskan kembali umpan sekiranya terasa umpan tersebut merupakan suatu ancaman buatnya.

Bersama penyokong-penyokong cilik 
Merakamkan kenangan bersama
Amazon Redtail Catfish yang telah memberikan
tentangan hebat di dalam pertarungan
"Strike" atau pertarungan pertama dihadapi oleh saya dengan penuh berhati-hati serta sedikit cemas kerana menyedari tali utama jenis mono berkekuatan 20lb yang telah di guna pakai pada kekili ketika ini. Seperti yang telah dijangka Redtail terus menggasak dengan larian yang padu mengheret umpan ke arah bawah restoran terapung untuk menyelamatkan diri walaupun kekuatan drag telah dilaras ke tahap yang paling maksimum. Setelah hampir empat minit pertarungan berlaku dan akhirnya saya berjaya mendaratkan spesis Amazon RedTail Catfish seberat 6.8kg membuatkan hati merasa amat puas setelah pertama kalinya dapat mendaratkan spesis ini. Lontaran kedua umpan telah dilakukan oleh Jepp dan nasib yang sama berlaku keatas beliau apabila umpan terus diragut tidak berapa lama selepas ianya di labuhkan. Jepp terus melayan pertarungan tersebut dan berjaya mendaratkan spesis yang sama iaitu seberat 8kg.



Masa tiga jam yang ditawarkan oleh pemilik kolam berserta pertarungan demi pertarungan yang berlaku pada malam itu telah memberikan kepuasan memancing buat kami berdua. Sebanyak 4 ekor spesis Amazon Redtail Catfish dan 3 ekor spesis Thai Redtail Catfish bersaiz 5 ke 9 kg telah berjaya kami daratkan daripada 12 "strike" yang telah di perolehi dalam masa tiga jam tersebut.

Thai Redtail terakhir yang berjaya didaratkan pada
jam 10.30 malam 

Sesungguhnya usaha dan inisiatif pemilik Jurasic Game Fishing Pond di dalam memberikan keunikan dan kelainan kepada pengemar sukan memancing tempatan  amatlah dihargai  dan ianya di harap dapat memberi impak yang positif di dalam industri perlancongan sukan memancing di Malaysia suatu hari nanti. Sebelum menamatkan penulisan ini buat sementara waktu, saya meletakkan harapan yang tinggi agar individu-individu yang telah membawa masuk spesis-spesis ikan yang berasal dari luar Malaysia sama ada untuk tujuan komersil ataupun sebagai haiwan perliharaan supaya tidak mengambil langkah mudah dengan melepaskan spesis-spesis ikan ini ke habitat-habitat semulajadi yang terdapat di sini kerana di khuatiri ianya akan merosakkan ekosistem serta menyebabkan kepupusan spesis-spesis tempatan dan akhirnya akan menjadi satu kerugian buat generasi akan datang.

INFORMASI TAMBAHAN

Link untuk ke lokasi Jurassic Game Fishing Pond dengan menggunakan applikasi WAZE.

Konsep tangkap dan lepas. 24 Jam
Bayaran Masuk : RM100  untuk 3 jam berserta bayaran deposit sebanyak RM50 - 1 joran
Anak Lampam sebagai umpan hidup ada dijual dengan harga RM1 seekor
Teknik memancing menggunakan gewang dan soft plastik adalah dibenarkan walaubagaimanapun penggunaan mata tiga pada alatan tersebut adalah di larang sama sekali.

Akhir kata ... "Majulah Sukan Memancing Malaysia"



Redza Ali
#tinyfishblogger
#malayatackleshop
0172789574
gerapoh@yahoo.com.my


#jurassicgamefishingpond
#amazonredtailcatfish
#pirara
#thairedtailcatfish
#asianredtailgamefish
#malaysiasportfishing

Isnin, 24 Ogos 2015

Diamond Mi-con Ultra No.5 Whisker Titan

Diamond Mi-con Ultra No.5 Whisker Titan


Diamond Mi-Con Ultra No.5 Whisker Titan
(Fotografi oleh Redza Ali)
Ianya merupakan salah satu kekili lagenda dari era 80an berkualiti tinggi dan telah dikeluarkan oleh pengilang kekili yang terdapat di Jepun pada ketika itu dengan tujuan untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Teknologi rekabentuk dan kejuruteraan mekanikal yang terdapat padanya boleh dikatakan agak canggih jika dilihat pada tahun ianya diperbuat dan boleh dikatakan ada teknologinya yang masih lagi diguna pakai pada pembuatan kekili-kekili moden sehingga ke hari ini.




Spesifikasi :-
  • Badan dari bahan karbon graphite yang tahan lasak
  • Ratio 4.1:1
  • Saiz 6000
  • Sistem Drag belakang menggunakan gegelung koil serta kombinasi bersama cakera berlapis untuk kekuatan serta kelembutan.
  • Geledung tali automatik boleh laras dengan alas bebola pada gelung tali tahan karat
  • Tali mono no.6-310m, no.8-240m, no.10-190m
  • Bunyi klik boleh laras ke mod senyap
  • Komponen dalaman diperbuat daripada bahan Zink, Alloy dan Tembaga yang tahan karat


Diamond Mi-Con Ultra No.5 Whisker Titan
(Fotografi oleh Redza Ali)
Kini jenama Diamond Mi-Con sudah tidak lagi wujud dipasaran kerana pengeluar atau pengilangnya sudah lama memberhentikan serta menutup operasi Syarikat diatas sebab-sebab yang tidak pasti. Apa yang diketahui daripada sumber-sumber yang tidak sahih, syarikat tersebut telah diambil alih oleh sebuah syarikat lain dari Jepun berserta dengan teknologi pembuatannya sekali dan seterusnya Syarikat baru tersebut bersama-sama dengan rakan kongsinya yang baru iaitu sebuah lagi Syarikat pengeluar kekili pancing yang tersohor di Amerika Syarikat telah mewujudkan penjenamaan semula produk Kekili pancing Diamond Mi-Con. Maka lahirlah jenama baru dengan membawa nama Shakespear Sigma kedalam pasaran untuk menggantikan Diamond Mi-Con dengan rekabentuk dan teknologi menyerupai model dari jenama asal.


Kekili Shakespear Sigma Whisker Titan
Rekabentuk dan teknologi yang sama dengan Kekili berjenama
Diamond Mi-Con
(Ihsan : Mr.Strauss Hammet, Amerika Syarikat)
Pada hari ini kebanyakan kekili pancing dari jenama Diamond Mic-Con telah dikategorikan sebagai sudah amat jarang ditemui dan biasanya ia menjadi sebahagian dari koleksi simpanan oleh pengemar-pengemar kekili lama kerana kualiti, keunikan serta pengeluaranya yang agak terhad pada tahun-tahun pembuatannya . Walaubagaimanapun kekili ini masih lagi boleh diperolehi oleh pengemar kekili lama yang berminat kerana ada diantara pengumpul-pengumpul kekili lama ingin menjual koleksi milik mereka dengan nilai-nilai yang tertentu bergantung pada kondisi luaran dan mekanikal kekili. Secara purata boleh dikatakan nilai harga sebuah Kekili Diamond Mi-Con Whisker Titan Ultra No.5 di Malaysia ialah sekitar linkungan RM250 ke RM1,000 bergantung pada kondisi kekili tersebut sama ada baru ataupun yang terpakai.

Semoga informasi ringkas yang telah dicatatkan pada halaman blog ini mendapat manafaat untuk semua demi kelangsungan informasi untuk generasi pemancing masa hadapan.

Majulah Sukan Memancing Malaysia dan sekian terima kasih.

#kekiliretro
#retroreel
#Diamond mi-con

Redza Ali
0172789574
gerapoh@gmail.com
Malaya Tackle Shop
Tiny Fish Blogger



Dua model yang berlainan iaitu Whisker Titan Ultra No.5
dan Model No.103
(Fotografi oleh Redza Ali)


Salah satu kekili lagenda buatan Jepun
(Fotografi oleh Redza Ali)

Komponen dari Diamond Mi-Con No.101

Komponen dari Diamond Mi-Con No.101


Rabu, 19 Ogos 2015

Selamat Datang


Segalanya mengenai informasi kekili pancing dari era retro sehingga kini dan juga catatan mengenai aktiviti  sukan memancing di Malaysia. 

Ribuan terima kasih kepada semua yang sudi melayari laman blog ini. Kami akan berusaha untuk memberikan informasi yang terbaik dari masa ke semasa agar hasil catatan yang dipaparkan dapat memberi manafaat buat pengemar sukan memancing di Malaysia.

Sokongan anda terhadap laman blog ini amatlah kami hargai demi untuk kelangsungan saluran informasi buat generasi pemancing akan datang.

Terima Kasih





#majulahsukanmemancingmalaysia
#sukanmemancingmalaysia
#malayatackleshop
#loveretroreel
#oldskoolreel

Redza Ali
0172789574
gerapoh@yahoo.com.my
#Tiny Fish Blogger 
Jualan On-line di Malaya Tackle Shop