Rabu, 16 September 2015

Pacu Ganas di Empangan Air Kuning



Suasana tenang dan damai di Empangan Air Kuning



Set Rod kustom hasil tangan seorang kenalan rapat
sedang membangau seketika
Buat pertama kalinya disini, Team MTS ingin berkongsi pengalaman dan informasi mengenai salah satu tempat rekreasi sukan memancing berbayar yang terdapat di Lembah Klang.

Lokasi pilihan pada kali ini bertempat di Kawasan Rekreasi Memancing Empangan Air Kuning, Taman Pertanian Malaysia, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Empangan Air Kuning menawarkan konsep tangkap dan lepas serta agak popular buat pengemar teknik mengilat, pancing layang serta dasar yang datangnya dari sekitar Lembah Klang. Pemancing boleh merasai sendiri pertarungan dengan spesis seperti Pacu, Amazon Red Tail Catfish, Sebarau, Jelawat, Rohu serta Toman mega yang mendiami lubuk-lubuk di sekitarnya. Cadangan atau idea untuk menguji peralatan serta bertarung dengan spesis Pacu ataupun nama lainnya Tambaqui  telah datang dari Saudara Jepp Watanabe (bukan nama sebenar). Beliau merupakan salah seorang kenalan rapat yang telah lama bergiat aktif dilapangan sukan memancing air tawar serta berpengalaman tentang lubuk serta teknik untuk memancing Pacu yang mendiami Empangan Air Kuning. 

Apa yang menarik mengenai Pacu yang terdapat di sini ialah kekuatan dan larian luar biasanya apabila bertarung. Ini berdasarkan daripada sumber yang telah diperolehi melalui cerita rakan-rakan pemancing  dan juga melalui pengalaman kami yang sudah biasa memancing di sini. Selain itu faktor persekitaran hutan semulajadi yang meliputi kawasan mini empangan  dengan air bukit yang jernih serta bersih mengalir masuk ke dalamnya membuatkan ikan-ikan yang menjadi penghuni disini berada dalam keadaan yang amat sihat dan cergas. Kawasan lubuknya pula agak dalam dan mencabar pada sesetengah tempat serta terdapat tunggul kayu pada dasarnya. Kawasan reba tersebut sering menjadi  tempat persembunyian serta tumpuan Pacu dan spesis lain membuat pecutan ke arahnya bagi meloloskan diri apabila terkena mata kail pemancing. Kejadian seperti tali perambut rabut, putus, tali utama meletup serta mata kail terkangkang adalah lumrah biasa buat pemancing apabila bertarung dengan Pacu di Empangan Air Kuning.

Aktiviti kami telah dimulakan pada hari sabtu iaitu seawal pukul 6.30 pagi. Selepas selesai bersarapan dan membeli sedikit  bekalan untuk mengalas perut, kami terus memulakan perjalanan dari Ampang ke Shah Alam dan sampai betul-betul di hadapan pintu masuk Taman Pertanian lebih kurang pada pukul 7.15 pagi. Kami terpaksa memberhentikan kenderaan di hadapan pintu tersebut kerana pendaftaran kebenaran masuk kenderaan ke kawasan Taman harus dipohon terlebih dahulu  daripada Pegawai Jabatan Perhilitan yang bertugas. Setelah permit masuk kenderaan diluluskan kami terus bergerak membawa masuk kenderaan ke dalam kawasan rekreasi dan seterusnya menuju ke Empangan Air Kuning. Perjalanan ke kawasan empangan dari pintu masuk taman dikelilingi oleh persekitaran landskap semulajadi yang amat mendamaikan. Suasana pagi terasa dingin serta sedikit berkabus membuatkan kami boleh merasai kesegaran udara pagi. Pada ketika ini kelihatan segelintir warga kota sedang melakukan aktiviti riadah sama ada berjogging, berbasikal mahupun berjalan kaki menggunakan kemudahan jalan-jalan susur yang telah tersedia.

Perjalanan  untuk ke Empangan Air Kuning dari pintu masuk mengambil masa lebih kurang tiga minit dan kali ini kami sampai tepat pada masanya kerana  bot jenama Pelican berwarna hijau masih lagi belum disewa oleh pemancing. Kelihatan En.Harun (bukan nama sebenar) yang bertugas sebagai penjaga kaunter tersenyum menyapa kami dengan mesra sambil menghulurkan tangan bersalaman. Setelah semua urusan selesai dan bayaran sewa telah dilunaskan. En.Harun mula bergegas  menuju ke gigi air untuk mempersiapkan bot Pelican hijau yang akan digunakan oleh kami sebentar nanti. Kami menjejakkan kaki ke dalam bot tepat pada pukul 8.30 pagi. Pada waktu itu suasana di Empangan amat tenang dan mendamaikan buat kami yang telah biasa dengan suasana hutan batu metropolitan. Kicauan unggas dan burung bersahut-sahutan memecah keheningan pagi sambil sekali-sekala ketenangan empangan diganggu oleh kibasan ekor Jelawat dan Rohu bermain dipermukaan air.

Piala kemenangan iaitu Tambaqui seberat 5.8kg
Bertarung dengan spesis Pacu di Empangan Air Kuning memerlukan teknik yang tertentu serta pengalaman yang harus dipelajari bersama dengan pemancing-pemancing yang sudah biasa mengenai lubuk serta sifat-sifat semulajadi spesis yang hendak diburu. Kemahiran untuk mengawal dan mengekang larian ikan yang menuju ke kawasan reba serta penguasaan kawalan drag yang bagus membolehkan peratusan untuk mendaratkannya adalah tinggi lebih-lebih lagi apabila memancing dengan menggunakan kanu, kayak atau bot. Bagi kami pengunaan teknik umpan terapung merupakan teknik yang amat sesuai digunakan jika ingin memburu Pacu di Empangan Air Kuning. Tali perambut fluorocarbon dengan kekuatan 30lb menjadi pilihan walaupun peratusan untuk putus digigit adalah tinggi akan tetapi kebiasaannya ia menjamin peratusan "strike" yang lebih dari Pacu yang bersaiz kasar. Jenis umpan pula haruslah terapung diatas permukaan air kerana biasanya Pacu di sini lebih gemar menyambar makanan di atas berbanding di bawah. Kami mendapati bahawa ikan-ikan yang menghuni Empangan Air Kuning agak cerdik atau dengan erti kata lain culas lebih-lebih lagi yang bersaiz 4 kilo keatas. Kebanyakan ikan yang telah lama menghuni disini dapat menyesuaikan diri serta boleh membezakan yang mana sebenarnya makanan dan yang mana umpan.  Selain itu konsep tangkap dan lepas yang telah dipraktikkan juga mempengaruhi tabiat ikan serta merupakan salah satu faktor penyebab ikan-ikan yang pernah terkena mata kail agak berhati-hati apabila ingin menyambar umpan ataupun gewang. Oleh itu sememangnya kejadian Kumpau, Bangau, Mangkau atau dengan ayat mudah "tak dapat ikan" sudah menjadi lumrah biasa buat pemancing yang baru ingin berjinak-jinak memancing di Empangan Air Kuning termasuklah kami pada suatu masa dahulu.


Penantian suatu penyeksaan
Jam menunjukkan sekitar pukul 8.45 pagi. Pancaran sinaran matahari telah mula menyimbahkan cahaya ke kawasan Empangan. Keadaan air kelihatan agak jernih sehingga menampakkan dasar pada sesetengah tempat yang cetek. Tanpa membuang masa kami mula melontar umpan ke arah lubuk yang berdekatan dengan reba. Sebelum itu  beberapa keping roti dan palet makanan ikan bersaiz kasar telah kami lontarkan terlebih dahulu ke kawasan tersebut bertujuan sebagai rasuah atau pelaris agar Sang Pacu keluar dari lubuk persembunyiannya. Suasana tenang seketika dan tumpuan mata serta fikiran kami hanyalah pada pelampung masing-masing sambil memerhatikan kawasan sekeliling dengan harapan agar ada sekumpulan Pacu bermain di permukaan air.  Lima belas minit masa berlalu namun yang kelihatan ketika ini hanyalah Sang Rohu dan Jelawat  sedang sibuk menghentam kepingan roti dan palet dipermukaan air namun tidak sedikitpun ianya hirau untuk menjamah umpan terapung yang tersangkut pada mata kail kami. Sungguhpun begitu ini adalah petanda baik kerana pada kebiasaanya Sang Pacu akan keluar dari sarang persembunyian untuk menyiasat kekecohan yang telah dilakukan. 



Jom Kita minum dulu

Apa yang dijangkakan berlaku depan mata. Fokus kami pada kali ini terus tertumpu pada sekumpulan pacu yang sedang sibuk menyambar umpan rasuah yang berada di permukaan air. Satu demi satu umpan disambar dengan ganas. Pada waktu ini kami sudah bersedia dengan joran masing-masing. Kekuatan drag diselaraskan dengan kesesuaian dan keselesaan sendiri serta genggaman tangan pada rod diperkemaskan sambil menunggu giliran umpan disambar. Secara tiba-tiba Rod North Folk milik Jepp direntap dengan ganas dan dalam beberapa saat kemudian Rod MHX Mag Tapper milik aku juga mengalami nasib yang sama. Jika dalam ayat bahasa Inggeris mereka kata "Double Strike" dan itulah yang terjadi pada kami waktu itu. Situasi ini telah membuatkan kami menjadi sedikit kelam kabut berusaha mengawal set pancing masing-masing dari dalam bot agar tali utama tidak bersilang dan boleh mengakibatkan pertarungan berpihak pada lawan.


Strike yang pertama dari Jepp Watanabe
Strike yang pertama.
Pacu Juvana   
Tiga minit masa pertarungan telah berlalu. Kelihatan kedudukan bot  kadang kala berubah arah tatkala kami berdua sedang sibuk menahan rod dari asakan ganas Pacu yang sudah mulai kepenatan. Melihat dari kelebihan serta peluang yang ada Jepp terus mengepam serta mengarau kekili secepat yang mungkin agar Pacu yang sedang kepenatan datang ke arah bot supaya senang untuk didaratkan. Namun begitu usaha yang dilakukan adalah sia-sia belaka kerana Sang Pacu masih lagi berdegil dan enggan untuk menyerah  dengan melakukan larian-larian terdesak menggunakan baki tenaga yang masih ada lebih-lebih lagi apabila ianya menghampiri permukaan air. Aku dapat melihat sekali lagi rod milik Jepp melentur ke tahap yang paling maksimum di saat akhir Sang Pacu melakukan larian yang akhirnya tewas dan terpaksa akur ditangan Jepp


Pacu bersaiz seperti ini sememanya 
mampu memberi tentangan 
hebat buat pemancing
Kami meneruskan aktiviti setelah berehat sebentar dari melepaskan Pacu yang telah didaratkan oleh Jepp sebentar tadi. Strike demi strike berjaya di perolehi dari sekitar jam 11.30 pagi sehingga 3.30 petang dan mengikut kiraan Aku lebih kurang tiga belas strike kesemuanya dalam tempoh tersebut walaupun  tiga daripadanya tidak berjaya didaratkan kerana  tali perambut putus atau rabut semasa pertarungan. Kegembiraan kerana kejayaan pada misi hari ini tidak dapat kami luahkan dengan kata-kata lebih-lebih lagi buat Jepp yang telah mendahului carta apabila berjaya mendaratkan tangkapan terberat iaitu Pacu 5.8kg dan secara tidak langsung berjaya menewaskan aku yang hanya memperolehi tangkapan sekadar 4.2kg. 


Hrrmmm jadi lerr...
Sesungguhnya pengalaman memancing Pacu di Empangan Air Kuning amat memberi kepuasan lebih-lebih lagi buat kami yang sememangnya mengemari pertarungan dengan spesis-spesis air tawar bersifat liar yang mendiami di habitat semulajadi. Semoga catatan pengalaman ini sedikit sebanyak dapat memberi informasi berguna buat pemancing-pemancing yang inginkan kelainan memancing di kolam berbayar spesis air tawar serta merialisasikan impian dan cabaran bertarung dengan spesis Pacu atau Toman bersaiz mega khususnya buat pengemar sukan memancing air tawar di Malaysia.


INFORMASI TAMBAHAN



Keratan Akhbar Berita Harian dari Segmen Joran
menceritakan keistimewaan memancing Pacu
di Empangan Air Kuning


                             VIDEO AKSI 
SELAMAT HARI MALAYSIA 16/09/2015 DAN MAJULAH SUKAN MEMANCING MALAYSIA









Redza Ali
Tiny Fish Blogger
0172789574
gerapoh@yahoo.com.my
#malayatackleshop
#pacuempanganairkuning
#pacu ganas
#sportfishing
#ceritamemancing
#freshwaterfishing
#malayaanglers